Tinta Penghulu

Assalamualaikum w.b.t

Terlebih dahulu saya mengucapkan tahniah kepada masyarakat PMPMS kerana masih bertahan mempamerkan kesepaduan bermasyarakat. Baik golongan pelajar pra-siswazah dan pasca-siswazah, masing-masing dapat berkerjasama dan berinteraksi dengan harmoni. Pada penggal 2009/2010, saya telah dipilih oleh masyarakat PMPMS untuk menerajui barisan kepimpinan PMPMS dengan azam meneruskan legasi barisan pimpinan terdahulu.

Kepada pelawat pertama kali blog ini, kami ucapkan terima kasih atas kesudian melihat profil PMPMS. Blog ini menjadi wadah penghubung kepada dunia luar khususnya rakyat Malaysia di tanahair. Segala yang terkandung dalam blog ini menjadi testimoni kehidupan bermasyarakat di sini. Masyarakat PMPMS amat mengalu-alukan kedatangan warga baru ke Sheffield. Warga baru boleh menghubungi saya atau timbalan penghulu melalui emel untuk sebarang pertanyaan. Risalah panduan ada disediakan dalam blog ini bagi memudahkan urusan kedatangan anda ke Sheffield.

Sungguhpun keahlian PMPMS berkurangan kesan dari penurunan bilangan kedatangan warga baru dan peningkatan kepulangan warga lama, PMPMS tetap menjalankan tiga aktiviti utama iaitu, sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha, Sukan PMPMS dan Hari Keluarga PMPMS. Insyallah pada tahun ini, perancangan akan dibuat dengan lebih awal supaya perlaksanaan berjalan dengan teratur.

Pada penggal ini, PMPMS akan memfokuskan jaringan hubungan luar seperti Jabatan Pelajar Malaysia (MSD), universiti-universiti UK dan Malaysia, Persatuan-persatuan  Pelajar  Malaysia di U.K.  Langkah ini wajar supaya PMPMS dapat bergerak dengan lebih dinamik. PMPMS sedang merangka program untuk persatuan-persatuan pelajar Malaysia berpusat di Sheffield. Insyallah berkat iltizam, PMPMS akan terus berbakti kepada masyarakat Malaysia dan masyarakat setempat di United Kingdom.

Wassalam dan Jazakallahukhair.


Mohd Kamel Wan Ibrahim

Penghulu,

Persatuan Masyarakat Pelajar Malaysia Sheffield,

2009/2010

Leave a Comment